PENGENALAN KEPADA ARKEOLOGI
APA ITU ARKEOLOGI?
Perkataan 'Arkeologi' berasal daripada perkataan Yunani
iaitu 'archaios' dan 'logos' yang bermaksud purba dan ilmu. Arkeologi ialah
ilmu kajian tentang masa lampau berdasarkan peninggalan lama yang telah
ditinggalkan daripada waktu silam dengan menggunakan pendekatan eksavasi
atau cari gali. Ilmu ini tidak hanya berfokuskan kepada aspek kebendaan yang
bersifat buatan manusia(artifak) sahaja tetapi juga yang bersifat bukan buatan
manusia(non-artifak/ eko-fak).
1) Arkeologi
Baru
Arkeologi Baru juga dikenali sebagai ‘processual archaelogy’
ditemukan oleh Lewis Binford pada 1960. Kaedah ini menekankan kepada
penyelidikan yang bersifat saintifik berdasarkan data yang diperoleh dengan
sistematik dengan menggunakan pelbagai pendekatan yang lain seperti ilmu
sejarah, geologi dan lain-lain. Dengan penggunaan pelbagai pendekatan yang
lain, maka pengetahuan tentang arkeologi akan dapat diketahu dengan lebih jelas
dan tepat.
2) Arkeologi
Lama
Dikenali sebagai ‘traditional archaelogy’. Ia berlaku pada
1920 hingga 1960. Kaedah ini melakukan banyak penambahbaikan dalam metodologi
dan dan teori. Antara penambahbaikan metodologi tersebut ialah dari aspek
penggalian, penrekodan dan intepretasi. Kaedah pentarikhan karbon juga
diperkenalkan oleh William Libby selepas Perang Dunia ke-2 bagi membantu
menentukan tarikh sesuatu artifak.
SEJARAH ARKEOLOGI
Arkeologi bermula dan berkembang di Eropah oleh mereka yang
berminat dengan peristiwa lampau. Contohnya raja-raja yang ingin mengetahui
kegemilangan sejarah lampau kerajaan mereka. Ahli arkeologi pertama yang
direkodkan, iaitu Raja Nabonidus misalnya, baginda merupakan raja Babylonia
yang terakhir dan baginda sangat berminat tentang sejarah lampau kerajaan
baginda sehinggakan baginda mengerakkan satu aktiviti ekskavasi dan membina
satu bangunan untuk menyimpan hasil artifak yang ditemui oleh aktiviti
ekskavasi tersebut.
Pada abad ke-15 dan 16, barangan antik mula diberi perhatian
khusus untuk dipelajari dan dikumpul oleh para ‘antiquarians’. Para
antiquarians umumnya adalah kaya dan mereka menjadikan minat mengumpul mereka
sebagai satu kebiasaan untuk menyimpan artifak dan arca purba sebagai satu
penghayatan kepada ilmu. Antara artifak yang dikumpul oleh antiquarians pada
ketika itu ialah arca dari zaman Graeco-Roman.
Namun semangat nasionalisme yang mula muncul pada akhir abad
ke-19 di Eropah telah menjadikan arkeologi ini sebagai satu tumpuan nasional
utama sesebuah negara untuk mengumpul sebanyak mungkin artifak dan pengetahuan
pra-sejarah terutamanya tentang Zaman Pleistosen. Banyak ahli arkeologi diupah
oleh sesebuah negara untuk mencari dan mengumpul artifak untuk negara tersebut.
Misalnya, Giovani Battista Belzoni yang diupah oleh British untuk mencari tapak
ekskavasi.
Banyak tapak arkeologi yang berusia ribuan telah ditemui
menjelang awal abad ke-20. Artifak antik yang dijumpai akan disimpan di muzium
nasional negara tersebut. Pemilikan artifak di dalam muzium nasional tersebut
akan menaikkan imej dan prestij sesebuah negara tersebut.
Comments
Post a Comment