LOKASI TAPAK-TAPAK ARKEOLOGI DI MALAYSIA

LOKASI TAPAK ARKEOLOGI DI MALAYSIA

1)      Gua Harimau, Lenggong, Perak
Gua Harimau mula diekskavasi oleh Williams-Hunt pada 1951. Antara jumpaan yang terdapat dari tapak ekskavasi tersebut ialah 11 rangka fosil, kapak gangsa, beliung, tembikar serta sisa makanan. Bermula tahaun 1987, Universiti Sains Malaysia mula melakukan kajian lanjutan terhadap tapak ekskavasi tersebut. Gua Harimau merupakan satu tapak pra-sejarah yang penting di Malaysia.
Ia merupakan lokasi yang menemukan kebudayaan zaman gangsa yang paling awal di negara ini. Pentarikhan radio-karbo yang dilakukan ke atas fosil di situ adalah berusia 3,000 hingga 4,000 tahun dahulu. Ekskavasi yang dilakukan turut menemukan pengkebumian yang merangkumi dua zaman iaitu zaman Neolitik dan zaman Gangsa. Ia juga ditemukan dengan artifak kapak gangsa yang lengkap dengan acuannya dalam keadaan tidak terganggu. Selain itu, alatan lain seperti tembikar, kalong, anting siput dan gelang juga ditemui di tapak pra-sejarah ini.
Kajian saintifik yang dijalankan  ke atas rangka manusia dan tembikar mencadangkan bahawa masyarakat prasejarah Gua Harimau mempunyai persamaan dan mempunyai hubungan dengan manusia zaman Neolitik yang mendiami tapak Gua Cha di Kelantan dan Ban Kao di Thailand. Penemuan alat gangsa dan acuannya menggambarkan penghasilan alat gangsa di kawasan Lenggong telah membuktikan bahawa kawasan pembuatan gangsa tidak hanya terhad di kawasan utara dan tengah Thailand sahaja.

2)      Gua Cha, Kelantan
Gua Cha pertama ditemui oleh H.D Noone pada 1936 dan kajian terperinci dijalankan di tapak arkeologi tersebut pada tahun 1954 oleh Gale G. Sieveking. Beliau menemukan rangka manusia Hoabinhian yang ditanam secara memanjang di dalam gua ini. Selain itu, antara artifak lain yang ditemui bersama rangka tersebut ialah 5 biji mangkuk daripada tanah liat dikebumikan bersama sebagai bekalan di alam lain. Pada tangannya terdapat gelang tangan seramik yang bersaiz besar. Usia artifak ini dianggarkan berusia sekitar 10,000 bc. Selain itu, tinggalan sisa makanan yang dijumpai dalam tapak ekskavasi tersebut juga memberi bukti yang kukuh bahawa masyarakat pada zaman tersebut mengamalkan aktiviti berburu.
Kajian itu diteruskan pada tahun 1979 dan 1985 oleh Jabatan Muzium Malaysia diketuai ahli arkeologi Dr. Adi Taha. Kesimpulan yang didapati daripada kajian ini menyimpulkan bahawa tapak ekskavasi tersebut bukan sahaja didiami oleh masyarakat Hoabinhian sekitar 10,000 tahun dahulu tetapi juga masyarakat Neolitik kira-kira 3000-4000 tahun selepas itu.

Rangka Manusia zaman Hoabinhian yang ditanam secara memanjang di Gua Cha.


3)      Gua Gunung Runtuh, Perak
Rangka manusia Paleolitik yang tertua di Semenanjung Malaysia iaitu Perak Man ditemui di tapak ekskavasi ini oleh Dr. Zuraini Majid dari USM dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia pada tahun 1991. Rangka yang berusia 11,000 tahun tersebut dikebumikan dalam keadaan meringkuk(foetal) seperti keadaan bayi di dalam rahim ibu. Rangka tersebut dijumpai bersama alat-alat batu dan kerang-kerangan sungai. Rangka tersebut merupakan salah satu rangka yang berada dalam keadaan lengkap.

4)      Lembah Bujang, Kedah
Lembah Bujang merupakan tapak bagi sebuah kerajaan Melayu yang terawal. Kerajaan ini terletak di negeri Kedah. Ia merupakan sebuah kerajaan maritim yang masyhur dengan perdagangan entreport dari kurun ke-4 hingga 13 masihi. Di tapak arkeologi Lembah Bujang telah ditemukan hampir 60 buah tapak candi dan struktur bangunan yang diperbuat daripada batuan granit, laterit dan bata tanah yang dipahat.
Antara bukti yang menunjukkan terdapat aktiviti perdagangan di tapak arkeologi ini ialah penemuan manik-manik yang berasal dari Timur Tengah, India dan. Asia Tenggara. Turut dijumpai adalah tembikar dan patung Buddha dengan tulisan Pallava-Sanskrit yang dianggarkan berusia sejak kurun kelima masihi. Proses menggali dan mengenal pasti tapak arkeologi ini dijalankan oleh Pusat Kajian Arkeologi Global(CGAR) dan Universiti Sains Malaysia.

Comments