FASA PENYELIDIKAN ARKEOLOGI DI MALAYSIA


Pengajian arkeologi di Malaysia telah pun menjangkau lebih dari satu kurun. Ini terbukti apabila telah wujud kajian mengenainya semenjak tahun 1840an seperti yang dilakukan oleh Kolonel James Low iaitu seorang purbawanis atau peminat barang antik yang telah melaporkan beberapa penemuan barangan purba di Seberang Prai dan Kedah. Laporan ini sangat penting buat penyelidikan arkeologi bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia Tenggara. Ini kerana penemuan tersebut telah meletakkan Malaysia sebagai negara paling awal menjalankan penyelidikan arkeologi.
     Perjalanan sejarah penyelidikan arkeologi bermula pada 1840-an dan berterusan sehingga hari ini berjaya menghasilkan beberapa sintesis, hipotesis dan teori berkaitan zaman prasejarah dan protosejarah Malaysia. Tempoh selama 160 tahun itu boleh dibahagikan kepada beberapa tahap.
     Profesor W.G. Solhiem mengutarakan bahawa fasa perkembangan arkeologi di Malaysia boleh dibahagikan kepada 4 fasa iaitu; Fasa 1 dari tahun 1840an hingga 1910, Fasa 2 dari tahun 1910 hingga 1957, Fasa 3 antara tahun 1958 hingga 1970 dan Fasa ke-4 ialah kegiatan dari tahun 1970 hingga kini.

Fasa Pertama
     Menurut beliau, pada fasa yang pertama, kegiatan penyelidikan arkeologi dijalankan oleh para pentadbir British dan golongan purbawanisme. Fasa ini bermula apabila buat pertama kalinya apabila G.W. Earl melaporkan tentang penemuan tapak timbunan kulit kerang di Seberang Prai, Pulau Pinang pada 1860-an.
     Di Perak sendiri, laporan berkaitan dengan kegiatan arkeologi telahpun bermula sejak 1880 apabila Leonard Wray menyatakan bahawa terdapat satu timbunan cangkerang siput dan tulang di Perak tetapi tidak dinyatakan dengan tepat dan tiada kajian lanjut. Pada tahun 1886 beliau telah menjalankan ekskavasi arkeologi buat pertama kali di Gunung Cheroh, Perak. Dalam kajian tersebut beliau telah menemui alat batu dan rangka manusia yang dikebumikan secara meringkuk. Antara 1886 hingga 1894, beliau telah dilantik sebagai kurator pertama Muzium Perak dan dari situ beliau memulakan kegiatan eksplorasi ke atas tapak arkeologi di Perak. Selain daripada Gunung Cheroh, beliau juga telah membuat tinjauan terhadap tapak Gunung Pondok dan Padang Rengas.
     Pada 1904, Muzium Perak dan Muzium Selangor telah digabungkan menjadi Muzium Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau FMS Museum. Muzium Perak telah dijadikan sebagai Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaya. Penubuhan muzium ini telah menyumbang kepada penerbitan Journal of the Federated Malay States Museum pada tahun 1905. Melalui muzium ini, penyelidikan arkeologi yang lebih terancang dan tersusun dapat dikendalikan oleh kakitangan muzium seperti G.W. Thomson iaitu Penolong Kurator yang telah menjalankan kerja eksplorasi dan ekskavasi arkeologi di Gua Kerbau, Gunung Pondok.

Fasa Kedua
     Pada fasa kedua, ia bermula apabila I.H.N Evans dilantik sebagai pembantu kurator dan pembantu etnografi bagi FMS Museum pada tahun 1912 seterusnya sebagai etnografi pada tahun 1926 sehinggalah bersara pada tahun 1932. Selepas dilantik sebagai pembantu kurator, beliau telah melakukan kerja eksplorasi dan ekskavasi seperti di Gua Kajang, Lenggong pada tahun 1917 dan Batu Kurau pada tahun 1920. Selain itu, beliau juga telah melakukan kajian di beberapa tempat di Pahang seperti Gunung Senyum. Memandangkan beliau bukan seorang ahli arkeologi yang terlatih maka kajian yang dilakukannya dipertikaikan oleh pengkaji lain seperti P.V. Van Stein Callenfels.
      Penglibatan Callenfels banyak membantu Evans dalam menjalankan kajian arkeologi dengan lebih sistematik pada masa-masa seterusnya. Misalnya, penggunaan teodolite dan titik datum sebagai titik rujukan untuk mengukur dan merekod artifak yang ditemui dalam kerja ekskavasi. Antara tahun 1930-1932, beliau mengaplikasikan kaedah yang lebih sistematik tersebut dalam kajian beliau di Kuala Selinsing, Perak iaitu sebuah tapak awal kurun masihi. Dalam kajian beliau bersama Callenfels di Gua Badak dan Gua Kerbau di Perak, mereka menyatakan bahawa tujuan kajian tersebut adalah untuk melihat penyebaran kebudayaan alat batu dari Indochina melalui Semenanjung Malaysia dan terus ke Sumatera. Sehingga persaraan Evans pada tahun 1932, lebih daripada 20 laporan telah dihasilkan dan sumbangan tersebut sangat besar kepada perkembangan arkeologi di Malaysia.
     Selepas era Evans, penyelidikan arkeologi negara diteruskan oleh beberapa pegawai dari Muzium Raffles di Singapura yang diketuai oleh F.N. Chasen selaku pengarah muzium pada ketika itu. Sementara pelaksanaan penyelidikan dijalankan oleh M.W.F. Tweedie selaku kurator dan H.D. Collings sebagai penolong kurator. Kedua-dua penyelidik membahagikan tugas di mana Tweedie lebih terlibat di Kawasan di Pantai Timur Semenanjung dan Collings di Pantai Barat. Penyelidikan mereka ini mendapat bantuan kewangan daripada Carnegie Corporation di New York. Bantuan ini membolehkan mereka mampu untuk menjalankan ekskavasi misalnya di Kota Tampan dan Gua Kepah.
     Dalam kajian ini Callenfels telah mengeluarkan pendapat berkaitan migrasi masyarakat prasejarah yang dikenali sebagai Melanesoid yang melalui Semenanjung Tanah Melayu ke Sumatera. Pada 1935, Tweedie telah menjalankan penyelidikan di Bukit Cintamani, Bentong, Pahang. Manakala pada 1939, beliau melakukan kajian di Gua Madu dan Gua Musang, Kelantan. Sementara itu, H.D.Collings yang menumpukan kajiannya di bahagian Pantai Barat Semenanjung telah menjalankan kajian di Gua Baling, Kedah pada tahun 1935 dan di Bukit Chuping, Perlis pada tahun berikutnya.
      Usaha dan kejayaan yang dicapai oleh Muzium Raffles Singapura ini menyebabkan ia dilantik sebagai pusat pengumpulan untuk tipologi dan perbandingan koleksi objek prasejarah bagi seluruh kawasan timur jauh. Pada tahun 1935 Muzium Raffles telah diberi mandat sebagai badan yang berwibawa dalam penyelidikan prasejarah di Timur Jauh dan pada tahun berikutnya Muzium Raffles telah menjadi tuan rumah kepada Kongres Ketiga Ahli-ahli Prasejarali Timur Jauh (Third Congress of Prehistorian of the Far East).
     Ini bermakna, sebelum Perang Dunia Kedua, aliran pemikiran ahli arkeologi prasejarah di Tanah Melayu menjurus kepada pencarian bukti mengenai penghijrahan manusia yang melalui Semenanjung Malaysia sebagaimana yang diasaskan oleh Von Heine Geldern pada tahun 1932 yang kemudiannya disokong oleh pengkaji yang lain seperti P.V. Van Stein Callenfels melalui penulisan beliau berkenaan dengan kebudayaan Melanesoid dan laporan-laporan kajian beliau terhadap tapak Gua Gol Bai't di Sungai Siput.  Pandangan ini kemudiannya menjadi asas dalam penyelidikan selepas Perang Dunia Kedua terutamanya oleh Sieveking dan Tweedie.
     Sewaktu Perang Dunia Kedua, penyelidikan arkeologi di Tanah Melayu telah dihentikan sepenuhnya dan hanya disambung semula selepas 1945. Pada tahun 1948 juga, William Hunt telah dilantik sebagai Penasihat Orang Asli bagi Jabatan Orang Asli dan beliau juga bertanggungjawab terhadap Muzium Negeri-negeri Melayu Bersekutu di Taiping. Beliau telah menjalankan kajian terhadap tapak-tapak sejarah di Kota Tinggi dengan menggunakan kaedah foto udara.
     Penubuhan Persatuan Sejarah Malaya pada 1953 telah memperluaskan ruang kepada ahli-ahli arkeologi mengemukakan laporan penyelidikan mereka melalui jurnal yang diterbitkan oleh persatuan tersebut iaitu 'Malaya in History'. Selain daripada kajian terhadap kebudayaan prasejarah, ahli-ahli arkeologi juga telah memberi tumpuan kepada tapak-tapak protosejarah seperti tapak Kuala Selinsing, Lembah Bujang dan tapak-tapak zaman sejarah seperti Kota Johor Lama.
     Satu perkara yang agak menarik juga terhadap suasana penyelidikan arkeologi prasejarah di Semenanjung Malaysia pada tahun-tahun 1950-an ini ialah kemunculan beberapa pandangan dan teori berkenaan dengan Zaman Logam di kawasan ini. Ini berpunca daripada penernuan-penemuan secara tidak sengaja objek-objek logam iaitu gangsa dan besi dan rata-rata daripada pendapat itu menyatakan bahawa terdapat pemisahan antara Zaman Gangsa dan Zaman Besi yang tulin di Semenanjung Malaysia.
Fasa Ketiga
     Pada tahun-tahun 1960-an, penyelidikan arkeologi sejarah semakin berkembang apabila Lord Medway telah melaporkan penemuan seramik China abad ke-11 dan 13 di Pulau Tioman, Pahang. Begitu juga dengan penyelidikan di tapak Kota Johor Lama yang telah dikaji oleh W.G. Solheim pada tahun yang sama. Sementara kajian terhadap tapak-tapak megalitik di Melaka dan Negeri Sembilan pula telah dilakukan oleh Mubin Sheppard pada awal tahun 1960-an juga.
     Pada tahun 1967, F.L. Dunn bersama-sama dengan B.A.V. Peacock telah menjalankan ekskavasi semula di Kota Tongkat, Pahang dan pada tahun berikutnya mereka sekali lagi menjalankan ekskavasi di Gua Tampaq, Ulu Kelantan bersama-sama dengan Al-Rashid dari Jabatan Muzium dan seorang calon Sarjana dari Universiti Malaya iaitu M. Kua. Pada tahun 1968, Peacock bersama-sama Al-Rashid dan Keiko Alkire telah melakukan ekskavasi arkeologi di Gua Tapa yang terletak dalam Kompleks Gunung Senyum di Temerloh, Pahang.
     Seiring dengan penyelidikan berbentuk ekskavasi arkeologi ini, Peacock dan Dunn juga telah menjalankan eksplorasi terhadap tapak prasejarah terutamanya di Ulu Kelantan. Hasil kajian-kajian tersebut, F.L. Dunn telah berjaya menemui satu rangka teoritikal untuk membina semula kebudayaan prasejarah dan protosejarah Semenanjung Malaysia. Ini dapat dilihat melalui tesis beliau yang berjudul Rain Forest Collecters and Traders: A Study of Source Utilization in Modern and Ancient Malaya, Data beliau itu disokong dengan kajian menggunakan kaedah etnoarkeologi yang juga merupakan pertama kali dilakukan di Malaysia.
Fasa Keempat
     Pada era 1970-an, penyelidikan arkeologi di Malaysia dikendalikan oleh penyelidik tempatan. Perkembangan ini adalah hasil daripada lahirnya graduan dan sarjana arkeologi tempatan seperti Nik Hassan Shuhaimi, Zuraina Majid, Leong Sau Heng dan Adi Taha. Kelahiran ahli arkeologi tempatan tersebut disamping peranan yang dimainkan oleh Jabatan Muzium, maka penyelidikan arkeologi di Semenanjung Malaysia terarah kepada tiga aspek.
     Pertamanya ialah penyelidikan berbentuk tinjaun arkeologi untuk mencari tapak baru dan lama yang pernah dilaporkan oleh penyelidik sebelum ini. Keduanya ialah penyelidikan berbentuk ekskavasi penyelamatan terhadap tapak-tapak yang terlibat dengan program pembangunan negara seperti pembinaan Empangan Tasik Kenyir dan yang ketiga ialah penyelidikan ekskavasi secara total, terancang dan sistematik terhadap tapak-tapak baru mahupun ekskavasi semula terhadap tapak-tapak lama seperti yang dilakukan oleh Adi Taha terhadap tapak Gua Cha.
     Dalam tempoh ini, peranan yang dimainkan oleh Jabatan Muzium sememangnya tidak dapat dinafikan. Pada ketika ini, O.A. Theseira merupakan tokoh yang memainkan peranan penting. Beliau yang juga merupakan ketua Unit Arkeologi Prasejarah telah melakukan lawatan terhadap tapak arkeologi di Sungai Tembeling, Pahang pada tahun 1974. Kemudian pada tahun 1977 beliau menjalankan kerja ekskavasi di Bukit Karim dan Kampung Bantal di mana beliau telah menemui artifak dari kebudayaan Neolitik dan Logam seperti beliung batu, penumbuk kulit kayu, tembikar tanah dan gelang tembaga.
     Pada tahun 1976, O.A.Theseira Bersama dengan Adi Taha telah menjalankan ekskavasi penyelamatan terhadap tapak Gua Tok Bidan yang akan tenggelam akibat daripada pembinaan Empangan Tasik Kenyir. Hasilnya, mereka telah menemui sisa makanan daripada kulit-kulit siput sedut air tawar, tulang-tulang haiwan, serpihan tembikar tanah, alat-alat batu pebble dan juga rangka manusia yang dikebumikan dengan cara melentur (flexed burial).
     Selain daripada itu, penyelidikan ekskavasi penyelamatan juga telah dilakukan oleh Leong Sau Heng bersama dengan O.A Theseira di tapak Jenderam Hilir, Dengkil, Selangor pada tahun 1977 dan 1979. Daripada penyelidikan itu mereka mendapati bahawa tapak tersebut merupakan multi-component site bermula dari Zaman Neolitik sehinggalah kepada Zaman Logam dan akhirnya zaman Awal Sejarah. Antara artifak yang temui ialah beliung batu berasah, gelang batu, batu asah dan batu penggiling, serpihan-serpihan tembikar tanah beragam hias termasuklah tembikar tanah berkaki tiga (tripod pottery), serpihan mangkuk gangsa, wang tampang dan alat pendayung perahu daripada kayu. Sebagai lanjutan daripada penemuan tapak Jenderam Hilir ini,
     Pada tahun 1980 iaitu selepas Adi Taha mengetuai Unit Arkeologi Prasejarah di Jabatan Muzium, beliau telah menjalankan kerja-kerja ekskavasi di Jeram Koi, Ulu Tembeling yang kemudian menjalankan eksplorasi arkeologi di Kota Gelanggi pada tahun yang sama. Malah, satu ekskavasi arkeologi juga telah dijalankan di Kota Balai pada tahun 1981 dan 1982. Pada tahun 1981, Adi Taha telah melawat beberapa gua di Perlis iaitu di Bukit Chirping, Bukit Tengku Lembu, Bukit Batu Hampar, dan Bukit Cangkul. Walau bagaimanapun tidak ada ekskavasi dijalankan memandangkan keadaan tapak yang terlalu terganggu.
      Kesimpulannya, pengajian dan penyelidikan arkeologi di Malaysia telah pun menjangkau lebih dari satu kurun. Sepanjang tempoh itu, banyak hasil tinggalan dan tapak arkeologi telah ditemui di negara ini. Semua ini berlaku hasil pengkajian yang dilakukan oleh pengkaji terdahulu sama ada pengkaji tempatan mahupun pengkaji luar negara.

Comments