KAEDAH PENTARIKHAN RELATIF


PENTARIKHAN RELATIF
     Pentarikhan yang kedua iaitu pentarikhan relatif pula adalah pentarikhan yang berdasarkan perbandingan. Sesuatu tapak atau artifak itu dibandingkan antara satu sama lain dengan bagi menentukan samada lebih tua atau muda. Dalam erti kata lain, pentarikhan ini tidak memberikan tarikh yang mutlak. Terdapat beberapa sub-jenis pentarikhan relatif iaitu sistem tiga zaman, stratigrafi, urutan tipologi dan seriasi.

Sistem Tiga Zaman/ Three Age
     Sistem ‘three age’ atau tiga zaman merupakan satu kaedah yang telah diperkenalkan oleh pedagang Denmark, iaitu Christian Jurgensen Thomsen pada 1836. Kaedah pentarikhan ini menyusun sesuatu artifak  mengikut zaman ia dihasilkan seperti Zaman Batu, Zaman Gangsa dan Zaman Besi.
     Kekurangan daripada artifak ini ialah terdapat sesetengah sesetengah tempat yang melangkau peringkat zaman tertentu atau tidak melalui zaman tersebut. Contohnya, masyarakat di sub-Africa-Sahara beralih dari Zaman Batu terus ke Zaman Besi tanpa melalui Zaman Gangsa. Selain itu, penggunaan kaedah ini dalam menentukan kemajuan sesuatu komuniti juga kurang tepat. Misalnya, masyarakat kuno Maya mencapai kemajuan yang tinggi dalam bidang matematik dan astronomi namun, masyarakat ini masih menggunakan teknologi alat batu. Di Jepun pula, tembikar telah wujud 10,000 BC tetapi gangsa dan penanaman padi hanya wujud sekitar 500 BC.

Pentarikhan Stratigrafi
     Pentarikhan stratigrafi pula merupakan kajian stratifikasi iaitu lapisan atau strata yang melapisi satu lapisan yang lain. Kaedah ini menggunakan prinsip ‘The Law of Superposition’ yang telah dikembangkan oleh seorang ahli geologis, Nicolas Steno pada 1669. Mengikut prinsip ini, Steno menyatakan bahawa tanah yang berada di dalam bumi disusun secara berlapis – lapis. Lapisan yang teratas adalah lebih muda berbanding lapisan yang berada di bawah. Oleh itu, ahli arkeologi yang mengaplikasikan keadah ini dalam membuat sesuatu pentarikhan artifak menyimpulkan bahawa sesuatu artifak yang ditemui di permukaan yang lebih dalam adalah lebih tua daripada artifak yang berada di atasnya dengan syarat tapak itu tidak terganggu atau in-situ.
     Namun, pentarikhan  ini turut mempunyai kelemahan dimana terdapat stratigrafi yang dijumpai berada di dalam keadaan yang tidak teratur. Hal ini disebabkan keadaan semulajadi bumi dan faktor geologi menyebabkan lapisan tanah terganggu iaitu pergerakan batu-batu di kerak bumi serta kejadian bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan sebagainya. . Artifak-artifak yang berada di dalam tanah akan beralih dan tidak lagi berada di posisinya yang asal. Selain itu, tapak-tapak ini tidak mungkin in-situ kerana kemungkinan berlakunya kegiatan manusia seperti penggalian lubang-lubang sampah dan perigi yang menyebabkan lapisan tanah terganggu serta haiwan yang tinggal di dalam tanah boleh menyebabkan artifak jatuh ke lapisan tanah yang lebih tua.


Konsep pentarikhan stratigrafi


Pentarikhan Tipologi
     Pentarikhan yang seterusnya iaitu pentarikhan tipologi ialah satu kaedah mengklasisifikasikan sesuatu benda berdaasarkan ciri-ciri khusus atau fizikal yang terdapat pada objek tersebut. Kaedah ini telah diperkenalkan oleh General Pitt-Rivers (1827-1900). Selain itu, kaedah ini juga digunakan terhadap jumpaan artifak dan fitur seperti tembikar, peralatan, bangunan dan monumen.
     Misalnya dalam penkelasan tembikar, setiap jenis tembikar yang dikelaskan mempunyai satu ciri-ciri khusus yang dapat dibezakan dengan tembikar yang lain. Selalunya, atribut digunakan untuk mengenalpasti jenis tembikar seperti melalui bentuknya dan dapat dibezakan dengan tembikar lain melalui mata kasar. Dengan mengelaskan tembikar mengikut jenis, ahli arkeologi dapat menganalisis satu siri pecahan tembikar dan dengan mudah dapat mengetahui period tembikar tersebut dihasilkan. Ahli arkeologi juga dapat menilai bila sesebuah tapak prasejarah digunakan dan sebagainya.


Konsep tipologi ialah setiap tembikar/artifak dari setiap zaman mempunyai corak yang tertentu.


Pentarikhan Seriasi
     Pentarikhan yang terakhir iaitu pentarikhan seriasi merupakan hasil daripada perkembangan kaedah tipologi. Seriasi adalah pentarikhan relatif yang melibatkan susunan dan pengumpulan pelbagai jenis artifak ke dalam susunan kronologi berasaskan kepada persamaan dan perbezaan. Dengan mengaplikasikan pentarikhan jenis ini, artifak juga disusun mengikut yang paling popular pada zaman penggunaanya seperti tembikar dan batu nisan. Artifak disusun dan dapat dilihat perkembangannya. Ahli arkeologi juga melihat pada ciri artifak untuk menjelaskan seriasi atau urutan evolusi artifak.
     Kesimpulannya, terdapat pelbagai kaedah pentarikhan dalam arkeologi yang dibahagi kepada dua umumnya iaitu pentarikhan  mutlak dan pentarikhan relatif. Pentarikhan dalam arkeologi telah memudahkan para ahli arkeologi dalam menentukan umur sesuatu artifak serta memberi manfaat dalam pelbagai bidang.

Comments